Sunday, June 22, 2008

12 PESANAN NABI S.A.W.

3 Pemusnah, 3 Penyelamat, 3 Penghapus Dosa, 3 Peninggi Darjat

Nabi Muhammad s.a.w. adalah guru yang sejati. Baginda bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga mendidik dan mentarbiah. Keutamaan baginya ialah umatnya. Beliau menghendaki supaya umatnya akan menjadi umat yang diredhai Allah, berjaya di dunia dan di akhirat dan berada di barisan hadapan dari umat-umat lain di padang mahsyar. Guru yang sejati tidak akan pernah putus asa menasihati murid-muridnya. Begitulah Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda tidak jemu menasihati umatnya. Tidak ada yang memberi manfaat kepada umatnya melainkan telah diceritanya dan tidak ada yang merugikan mereka melainkan baginda telah melarangnya. Di antara pesanan Nabi Muhammad s.a.w. ialah tentang empat perkara yang setiap satunya disebut pula tiga ciri;
Perkara pertama; al-Muhlikat, iaitu perkara-perkara yang memusnahkan.
Perkara kedua; al-Munjiyat, iaitu perkara-perkara yang menyelamatkan.
Perkara ketiga; al-Kaffarat, iaitu perkara-perkara yang menghapus dosa.
Perkara keempat; ad-Darajat, iaitu perkara-perkara yang mengangkat darjat/martabat.

Baginda bersabda; "Tiga perkara yang memusnahkan, tiga perkara yang menyelamatkan, tiga perkara yang menghapuskan dosa dan tiga perkara yang mengangkat martabat…".

Sememangnya engkau Ya Rasulullah s.a.w. seorang pendidik. Engkau mendidik kami –umatmu- agar selamat dan tidak musnah. Malah engkau menghendaki agar kami dihapuskan dosa dan diangkat darjat oleh Allah. Selamat dan sejahtera dari Allah untuk engkau, wahai Nabiyallah. Allahumma Shalli Wa Sallim ‘Ala Muhammadin Wa Ali Muhammadin.

Nabi Muhammad s.a.w. melanjutkan sabdanya; "Ada pun tiga perkara yang memusnahkan ialah;
Pertama; Sifat bakhil yang ditaati.
Kedua; Hawa nafsu yang dipatuhi
Ketiga; Seorang itu berasa takjub dengan diri sendiri…
".

Sifat bakhil memang telah sedia ada dalam diri manusia. Semua kita memiliki sifat bakhil. Kerana itu kita sayangkan harta-benda kita dan kita tidak suka hak kita diganggu. Tidak ada salahnya pada semata-mata sifat bakhil. Yang salah ialah apabila sifat itu dipertuhankan, iaitu kita mentaati sifat bakhil yang ada dalam diri kita hingga kita enggan mengeluarkan zakat, apatahlahi untuk bersedekah. Jika itu yang menjadi sikap kita, maka kemusnahan sedang menunggu kita.

Hawa nafsu juga sama. Manusia dilahirkan dengan pelbagai nafsu yang melingkari dirinya; nafsu makan, nafsu hiburan, nafsu seks dan sebagainya. Tanpa nafsu, manusia tidak akan dapat hidup. Tanpa nafsu juga manusia tidak akan beranak-pinak. Kehidupan manusia berbeza dengan malaikat yang tidak memiliki nafsu. Kerana itu, sekali lagi tidak ada salahnya pada nafsu. Yang salah ialah apabila nafsu itu dipertuhankan. Tanda orang yang mempertuhankan nafsu ialah; segala yang ia lakukan dalam hidupnya diukur berdasarkan suara nafsu. Ia tidak menghiraukan pandangan agama, halal-haram dan keredhaan Allah. Yang penting baginya ialah adakah nafsunya puas atau tidak. Orang begini mengikut kata Nabi dalam hadis tadi ia akan musnah.

Takjub dengan diri sendiri adalah sifat Iblis, Fir'aun dan juga Qarun. Iblis tatkala disuruh oleh Allah untuk sujud –menghormati- Adam, ia berkata kepada Allah; "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah" (Surah al-A'raf, ayat 12). Fir'aun mengaku diri sebagai Tuhan. Ia berkata kepada kaumnya –sebagaimana direkodkan oleh al-Quran-; "Akulah Tuhan kamu yang tertinggi" (Surah an-Nazi'at, ayat 24). Qarun pula takjub dengan kekayaannya. Ia berkata; "Aku diberikan harta kekayaan ini kerana ilmu dan kepandaian yang ada padaku" (Surah al-Qasas, ayat 78). Apa kesudahan mereka? Iblis dilaknat oleh Allah hingga kiamat dan akan menjadi makhluk pertama jatuh ke dalam neraka. Fir'aun ditenggelamkan oleh laut bersama bala tenteranya yang besar. Nasib Qarun pula diceritakan Allah; "Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia menemui sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan tidak pula dia tidak dapat menolong dirinya sendiri" (Surah al-Qasas, ayat 81). Begitulah pengakhiran golongan yang takjub dengan diri sendiri.

Nabi Muhammad melanjutkan lagi sabdanya; "Adapun tiga perkara yang menyelamatkan ialah;
Pertama; Bersederhana ketika miskin dan ketika kaya.
Kedua; Berlaku adil ketika suka dan ketika marah.
Ketiga; Takut kepada Allah ketika bersendirian dan ketika bersama orang ramai
…".

Ramai orang mampu bersederhana semasa ia miskin atau kurang berada. Namun apabila kaya atau diberi rezki lebih, sifat sederhana itu hilang dan ia berubah menjadi pemboros. Begitu juga, ramai orang yang mampu bersikap adil apabila moodnya baik atau apabila ia suka kepada seseorang. Namun apabila ia marah atau berhadapan dengan orang yang tidak disukainya, ia sudah tidak dapat berlaku adil lagi. Untuk menempuh hidup yang selamat, kita hendaklah menjiwai sifat sederhana dan sifat adil dalam diri tanpa mengira masa, ketika dan suasana. Sama juga dengan perasaan takut kepada Allah. Perasaan itu hendaklah ada dalam jiwa kita setiap masa tanpa mengira di mana kita berada sama ada bersendirian atau bersama orang lain. Dalam pesanan yang lain, Nabi s.a.w. berkata; "Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada".[1]

Seterusnya, bagi tiga perkara yang menghapus dosa, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; "Adapun tiga perkara yang menghapuskan dosa;
Pertama; melangkahkan kaki untuk menunaikan solat berjamaah.
Kedua; menyempurnakan wudhuk sekalipun pada musim sejuk.
Ketiga; menunggu solat selepas solat"
.

Nabi s.a.w. amat menggalakkan umatnya untuk mengerjakan solat secara berjamaah. Baginda menerangkan fadhilatnya; "Solat secara berjamaah lebih baik dari solat seorang diri dengan 27 tujuh darjat".[2] Apabila kita berjalan ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah, setiap langkahan tapak kaki kita akan menghapuskan satu dosa kita. Bayangkan berapa banyak langkahan yang kita lakukan setiap hari tatkala kita berulang-alik lima kali sehari semalam dari rumah ke masjid dan bayangkan juga betapa banyak dosa kita yang telah terhapus. Nabi s.a.w. bersaksi; "Jika kamu melihat seorang itu suka berulang-alik ke masjid, bersaksilah bahawa ia adalah orang yang benar beriman".[3]

Mengambil wudhuk adalah syarat sah solat. Menyempurnakan wudhuk adalah langkah awal untuk penyempurnaan solat. Biasanya orang yang sentiasa mengambil wudhuk dengan sempurna, solatnya juga akan dilakukan dengan sempurna. Orang yang memgambil wudhuk culang-caling, selalunya solatnya juga culang-caling. Satu hari Nabi s.a.w. pernah menawarkan kepada sahabat-sahabatnya; "Mahukah kamu aku tunjukkan amalan-amalan yang dengannya Allah akan menghapuskkan dosa-dosa dan mengangkat darjat-darjat kamu?". "Sudah tentu, wahai utusan Allah", jawab mereka. Nabi s.a.w. lalu bersabda; "Menyempurnakan wudhuk pada ketika-ketika payah, banyak melangkah kaki ke masjid dan menunggu solat selepas solat. Semua itu adalah ribat (baginda mengulangi tiga kali)".[4] Menunggu solat maksudnya ialah menunggu masuk waktu solat untuk mengerjakannya. Ia boleh difahami dengan maksud perbuatan iaitu menunggu di masjid (yakni beriktikaf) hinggalah masuknya waktu solat dan boleh juga difahami secara perasaan hati iaitu hati yang sentiasa teringat untuk mengerjakan solat dan mengambil berat tentang solat.[5]

Untuk pesanan terkahir, Nabi s.a.w. berkata; "Adapun tiga perkara yang mengangkat darjat ialah;
Pertama; bangun menunaikan solat malam pada saat orang lain sedang nyenyak tidur.
Kedua; memberi salam
Ketiga; memberi makan orang lain"
.

Orang-orang Islam yang taat kebanyakan mereka hanya mampu menjaga solat lima waktu. Jika ada ibadah sunat yang dilakukan kebanyakannnya di siang hari. Amat jarang yang sanggup bangun beribadah di malam hari walaupun besar fadhilatnya. Oleh itu, jika kita mampu bangun di malam hari pada masa orang lain semuanya sedang nyenyak tidur, maka darjat kita di sisi Allah lebih dari orang lain dengan syarat kita menjaga keikhlasan dalam hati kita.

Memberi salam adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib. Namun dari segi kelebihan, darjat orang yang memberi salam lebih tinggi dari orang yang menjawab salam kerana ia lebih dahulu mendoakan kesejahteraan orang lain di samping dia juga memperolehi pahala mengajak orang kepada kebaikan (yakni menghidupkan sunnah memberi salam). Begitu juga memberi makan orang lain sama ada orang miskin, anak-anak yatim atau keluarga dan sahabat-handai (untuk mengeratkan silaturrahim). Kebanyakan manusia hanya berfikir untuk memberi makan keluarga dan diri sendiri. Namun jika kita berfikir untuk memberi makan orang lain sama –di samping keluarga dan diri sendiri- maka itu adalah kelebihan kita berbanding kebanyakan orang.

Demikianlah 12 pesanan Nabi s.a.w. yang terangkum di dalam empat kumpulan nasihat yang cukup bermakna dan bernilai bagi hidup kita; nasihat untuk mengelak kemusnahan, nasihat untuk mendapat keselamatan, nasihat untuk dihapuskan dosa dan nasihat untuk memperolehi darjat yang tinggi. Hadis yang memuatkan pesanan-pesanan ini diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani r.a. dari Abdullah bin ‘Umar r.a. (anak lelaki sahabat besar ‘Umar bin al-Khattab r.a.). Menurut Syeikh Nasiruddin al-Albani; hadis ini adalah hasan.[6]

Nota kaki;

[1] HR Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a. dan Mu’az bin Jabar r.a..
[2] HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar r.a..
[3] HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Sa’id r.a.. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 634, Soheh.
[4] HR Imam Malik, Muslim, Tirmizi dan Nasai dari Abu Hurairah r.a.. Ribat bermaksud; mengikat diri di jalan Allah. Maksud hadis ialah; orang yang sentiasa berada dalam toharah dan ibadah menyamai orang yang berada di jalan Allah. (Fiqhus-Sunnah, jil. 1, hlm. 28, kitab al-Wudhu’).
[5] Lihat syarah Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 965 dan 634.
[6] Lihat; Soheh Wa Dhaif al-Jami’ as-Saghier, Syeikh Nasiruddin al-Albani, hadis no. 5356.

Saturday, June 21, 2008

TAUHIDULLAH DAN SYARI'ATULLAH

HIDUP BERPAKSIKAN TAUHIDULLAH DAN BERLANDASANKAN SYARI'ATULLAH

Hidup manusia adalah satu perjalanan di mana penghujungnya adalah akhirat. Kita bermula dengan tiada, kemudian berada di dalam rahim ibu selama sembilan bulan -mengikut kebiasaan-, seterusnya dilahirkan ke dunia. Di dunia kita menghadapi kehidupan sementara sebelum mati. Kematian bukan penamat hidup. Apabila mati, kita berpindah ke alam yang lain iaitu Barzakh. Di alam Barzakh manusia akan menemui nikmat kubur atau azabnya. Perjalanan hidup manusia berakhir di akhirat. Tiba di akhirat manusia tidak akan ke mana-mana lagi. Kehidupan mereka akan berakhir di situ buat selama-lamanya; ada yang berhuni di syurga dan ada yang di neraka.

Kebahagiaan manusia di akhirat bergantung kepada kehidupannya di dunia. Kerana itu, antara ilmu yang paling bernilai bagi manusia ialah ilmu yang mengajarnya bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan gaya kehidupan yang sebenar mengikut acuan Allah, iaitu gaya kehidupan yang membawa kejayaan di akhirat. Rahmat dan kasih sayang Allah untuk manusia tidak pernah padam dari sejak mula Ia mencipta asal-usul mereka (iaitu Adam) hinggalah ke hari ini. Tidak putus-putus Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk mengajar manusia makna kehidupan dan bagaimana seharusnya kehidupan dilalui. Dengan berperanan sebagai penyampai wahyu, sebagai guru dan pentarbiah, para Nabi dan Rasul bergerak di khalayak manusia untuk menyampaikan Risalah Allah, mendidik manusia serta menyucikan jiwa mereka.

Paksi dakwah para Nabi dan Rasul ialah Tauhidullah (yakni mentauhidkan Allah). Slogan Tauhidullah ialah kalimah Lailahaillah (Tidak ada Tuhan melainkan Allah). Kalimah ini dinamakan kalimah Syahadah, kalimah al-Ikhlas, kalimah at-Taqwa dan al-‘Urwatil-Wusqa.[1] Syahadah bermakna penyaksian. Dengan kalimah ini seseorang itu bersaksi di hadapan Allah dan sekelian makhlukNya bahawa Ia hanya bertuhankan Allah, tidak bertuhankan yang lain selainNya. Al-Ikhlas bermakna ketulusan. Dengan kalimah ini, seorang muslim mentuluskan hatinya untuk Allah. Dia tidak mensyirikkan Allah, tidak riyak dalam beramal, begitu juga tidak menyimpan perasaan Sum’ah mahupun ‘Ujub. At-Taqwa bermakna takutkan Allah di mana kalimah Lailahaillah jika benar-benar dihayati akan melahirkan seorang yang sentiasa takutkan Allah. Al-‘Urwatil-Wusqa bermakna simpulan tali yang kukuh. Kalimah Lailahaillallah mengikat seseorang itu dengan Allah. Selagi seorang manusia itu tetap berpegang dengan kalimah Lailahaillallah, maka selagi itulah pertaliannya dengan Allah tidak akan putus. Allah akan menjaga dan memeliharanya, memberi hidayah kepadanya dan membimbingnya ke syurga.

Di atas paksi tauhid itu dibina pula landasan Syari’at. Syari’at bermakna jalan. Syari’at Islam bermakna jalan hidup Islam yang mesti dilalui oleh setiap manusia yang mentauhidkan Allah. Seorang muslim mempunyai landasan hidupnya sendiri iaitu Syari’atullah. Syari’atullah melengkapkan Tauhid. Tiada Syari’at tanpa tauhid dan tidak sempurna Tauhid tanpa penghayatan terhadap Syari’at. Tauhid menjurus kepada batin atau dalaman manusia. Syari’at pula menjurus kepada zahir atau luarannya. Seorang muslim hakiki ialah yang Islam pada dalaman dan juga luarannya. Ia bebas dari segala sifat yang bertentangan dengan cirri-ciri keislaman sama ada sifat kufur, sifat munafik, sifat fasiq dan sebagainya. Kufur ialah menolak Islam sama ada dari segi dalamannya (yakni tauhid) atau luarannya (yakni Syari’at). Sifat munafik menolak Islam pada dalamannya tetapi menzahirkan Islam pada luaran iaitu berpura-pura Islam. Fasiq pula meyakini Islam pada dalaman (yakni mentauhidkan Allah), namun tidak berkomitmen dari sudut luarannya (yakni tidak berpegang dengan Syari’at).

Kejayaan kita ialah dengan kita menghadamkan Tauhidullah dan juga Syari’atullah dalam diri kita. Tauhidullah adalah paksi hidup kita, sementara Syari’atullah adalah landasannya. Itulah gaya hidup muslim. Nabi s.a.w. pernah diminta oleh seorang sahabatnya untuk memberikan kata-kata nasihat yang ringkas dan padat tentang Islam, lalu baginda berkata; “Ucapkanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamahlah”.[2] Beriman dengan mentauhidkan Allah, istiqamah pula dengan berterusan di atas landasan Syari’atNya. Apabila bergabung iman dan istiqamah, kejayaan pasti menjadi milik kita sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam firmanNya (yang bermaksud);

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata: ‘Tuhan Kami adalah Allah’, kemudian mereka istiqamah, akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita. Terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah teman-teman kamu di dunia dan di hari akhirat. Kamu akan mendapat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan mendapat apa yang kamu cita-citakan, sebagai sambutan penghormatan dari Allah yang maha pengampun, lagi maha mengasihani!’”. (Fussilat; 30-32).

Nota kaki;

[1] Lihat; surah al-Fath, ayat 26 dan al-Baqarah, ayat 256.
[2] Riwayat Imam Muslim dari Sufyan bin ‘Abdillah r.a..

Wednesday, June 11, 2008

ANAK SOLEH

BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH?

Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud); “Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?

“Ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu) dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar” (Surah al-Anfal, ayat 27-28)

Apa makna anak soleh?

Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?

Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)

10 langkah praktik untuk melahirkan anak soleh

1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain 3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;
a) Selalu membaca al-Quran di rumah
b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah
c) Hidupkan budaya memberi salam
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Insya-Allah dengan melaksanakan langkah-langkah tersebut dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, akan lahirlah di dalam keluarga kita anak-anak soleh yang bukan sahaja dikasihi Allah, tetapi juga menyejukkan mata kita dan menyenangkan masyarakat.