Sunday, August 3, 2008

PERBETULKAN PERSEPSI KITA TERHADAP TERTUDUH

Apabila seseorang menghadapi suatu tuduhan -khususnya tuduhan jenayah-, biasanya masyarakat sudah mula memandang hina kepadanya? Tuduhan baru dibuat dan keputusan belum tentu benar ia melakukan sebagaimana yang dituduh atau tidak melakukannya, namun namanya sudah menjadi buruk. Itulah kelemahan sistem yang ada dalam masyarakat hari ini. Minda masyarakat dimainkan oleh media massa. Media massa pula kebanyakannya tidak bertanggungjawab, bukan berniat mendidik masyarakat, tetapi lebih kepada mencari untung termasuk dengan menyiarkan berita-berita sensasi tanpa memikirkan pandangan Syarak, baik-buruk berita itu disiarkan, kesan terhadap masyarakat dan individu dan sebagainya. Menurut Syari'at Islam, semua manusia dilahirkan dalam keadaan bersih dari dosa dan jenayah. Oleh itu, untuk mensabitkan kesalahannya mesti dengan bukti-bukti atau dengan pengakuannya sendiri. Tanpa bukti atau pengakuannya, ia akan kekal dalam status asal ketika ia di lahirkan iaitu tanpa dosa dan tanpa jenayah. Sekadar tuduhan, ia tidak boleh dianggap telah melakukan jenayah. Penerimaan masyarakat terhadapnya juga tidak seharusnya berubah. Media masa juga tidak berhak menyiarkan berita seolah-olah ia telahpun bersalah, walhal apa yang dilemparkan kepadanya baru berupa tuduhan.

Dalam senarai kaedah-kaedah Fiqh (al-Qawa'id al-Fiqhiyyah) yang dijadikan panduan oleh ulamak-ulamak Islam untuk menetapkan hukuman/keputusan, terdapat satu kaedah berbunyi; "al-Aslu Bara-atu az-Zimmah", yang memberi pengertian; "Asal setiap manusia adalah bebas dari sebarang tanggungan". Maksud tanggungan di sini ialah tanggungan terhadap hak orang lain sama ada berupa harta, kesalahan jenayah atau sebagainya. Apabila ada seorang mendakwa seorang lain ada berhutang darinya dan orang itu tidak mengakui, dakwaannya itu tidak terus diterima, akan tetapi ia dituntut mengemukakan bukti yang berupa saksi, surat perjanjian dan sebagainya. Ini kerana manusia pada asalnya dilahirkan tanpa ada hutang, maka untuk mensabitkan ia berhutang hendaklah dengan bukti. Jika tidak, kekallah ia dalam hukum asalnya iaitu bebas dari hutang.

Menyentuh tentang jenayah pula, Dr. Abdul-Karim Zaidan menjelaskan; di antara cabang kaedah ini (yakni kaedah yang kita sebut di atas); "Seorang tertuduh masih dianggap bebas hinggalah terbukti perlakuan jenayahnya. Kerana itu, terdapat ungkapan yang masyhur; 'Apabila berlaku keraguan (dalam tuduhan), ia akan ditafsirkan untuk kepentingan tertuduh", kerana pada asalnya tertuduh adalah bebas dari sebarang perlakuan jenayah dan juga hukuman yang menjadi akibat dari jenayah itu. Apabila tidak terbukti jenayah itu, maka sebarang keraguan tidak terpakai untuk menyabitkan perlakuan jenayahnya, maka keraguan tersebut ditafsirkan untuk kepentingan tertuduh iaitu pembebasannya (dari tuduhan)" (al-Wajiz Fi Syarhi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).

Begitulah betapa adilnya Islam. Dengan Islam semua akan selamat; kita akan selamat, orang lain akan selamat, keluarga kita akan selamat, masyarakat akan selamat dan negara juga turut selamat. Berlaku adillah terhadap orang lain, insya Allah orang lain juga akan berlaku adil terhadap kita. Bersangka baiklah terhadap orang lain, nescaya orang lain juga akan bersangka baik dengan kita. Buatlah penilaian berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, bukan berdasarkan pandangan-orang ramai, media massa atau sebagainya. “Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta" (maksud al-Quran; surah al-A’raf, ayat 116).

Thursday, July 31, 2008

KENAPA ENGGAN BERADA DI SAF HADAPAN?

"Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh"

Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain. Firman Allah (bermaksud); "Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan" (al-Baqarah; 148). Sabda Nabi s.a.w.; "Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)" (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a..

Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; "Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan". Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu. Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.

Wallahu a'lam.

Saturday, July 26, 2008

PEMUDA UNGGUL DARI KISAH ASHABUL-KAHFI

Ashabul Kahfi; tauladan buat pemuda umat ini

Pemuda sebagai tunggak kepada kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja.

Pemuda Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah iaitu;

1. Untuk mengabdikan diri kepada Allah
2. Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3. Membantu membangunkan ummah dan negara

Pemuda Islam juga harus menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu. Asas-asas kekuatan itu ialah;

1. Iman yang mantap di dalam jiwa
2. Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
3. Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan malu.
4. Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan malas.
5. Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.

Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”.

Kisah ashabul kahfi adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang sebenar iaitu;

1. Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim
2. Yakin kepada diri sendiri
3. Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4. Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5. Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6. Sanggup berkorban
7. Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8. Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun

Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah;

“Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.
2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar Zulkarnain.
3. Kisah tentang hakikat ruh.

Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut”.

Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya). Firman Allah;

“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1. Maksalmina
2. Tamlikha
3. Martunus
4. Bainunus atau Nainunus
5. Sarbunus
6. Dzunuanus
7. Kasyfitatanunus

Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka.

Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya;

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.

Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh.

Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung. Firman Allah;

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua;

“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11).

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18)

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.

“Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak. Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;

“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah. FirmanNya;

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya.

Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.

Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Friday, July 4, 2008

19 AKIBAT DOSA

1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Dikutip dari kitab Al-Fawaid, karya; al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67)

APA KEWAJIPAN KITA TERHADAP AL-QURAN?

4 Kewajipan terhadap al-Quran

Imam Hasan al-Banna dalam satu taujihatnya kepada ahli-ahli Ikhwan Muslimin berkata; "Hendaklah kamu tunaikan empat kewajipan kamu terhadap al-Quran;

1. Meyakini bahawa tidak ada jalan hidup yang selamat melainkan yang diambil daripada al Quran. Sebarang sistem atau peraturan dalam apa bidang sekalipun jika tidak bersandar atau tidak di ambil daripada al Quran maka ia pasti akan menemui kegagalan.

2. Menjadikan al-Quran sebagai teman hidup iaitu dengan selalu membacanya dan bersungguh-sungguh ketika membacanya. Membaca al Quran hendaklah dijadikan amalan tetap pada setiap hari.

3. Menghormati al-Quran iaitu dengan menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran dan juga ketika mendengar bacaan al-Quran.

4. Beramal dengan segala ajaran dan hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran. Hukum-hakam yang terkandung dalam al Quran terbahagi kepada dua kategori;

a) Hukum-hakam yang berkait dengan setiap individu; iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat, puasa, haji, taubat, istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar, memenuhi janji, amanah) dan sebagainya.

b) Hukum-hakam yang berkait dengan masyarakat atau sosial; iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan hal-hal yang menjadi kewajipan negara seperti menegakkan undang-undang jenayah Islam (hudud), jihad dan sebagainya. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.
(Hassan al Banna, Hadis as-Thulasa’, hlm. 14-17)

Monday, June 30, 2008

ADA APA SELEPAS MATI?

Tazkirah Nabi s.a.w. di hari pengkebumian

Seorang sahabat bernama al-Barra' bin 'Azib –radhiyallahu 'anhu- menceritakan; "Suatu hari kamu keluar bersama Rasulullah –sallallahu 'alaihi wasallam- mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda berucap;
“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa' dalam bahasa Arab).
Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini’. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Bau apakah yang amat harum ini?”. Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab; “Ruh si fulan bin fulan”. Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.
Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ke tujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya; “Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”. Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya.
Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’. Ia akan menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Ia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.
Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”. Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”. Ia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”. Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.
Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata: ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya. Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).
Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang busuk ini?”. Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.
Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. (Surah al-A’raf, ayat 40)
Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”. Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):
“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. (Surah al-Hajj, ayat 31)
Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.
Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka. Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya. Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Ia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya ia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.
(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630))

Tuesday, June 24, 2008

KHUTBAH ABU BAKAR AS-SIQQIQ

Khutbah Abu Bakar as-Siddiq; panduan untuk siapa yang ingin menjadi pemimpin

Bahagialah rakyat jika memiliki pemimpin yang soleh, takutkan Allah dan tahu kewajipan terhadap rakyat. Namun jika sebaliknya yang mereka perolehi, sengsaralah hidup mereka. Islam adalah agama politik dan pemerintahan, sebagaimana ia juga agama aqidah, ibadah dan kekeluargaan. Islam tidak hanya ingin melahirkan ahli ibadah (‘abid) dan ahli ilmu (‘alim atau ulama’), tetapi juga ingin melahirkan ahli politik dan pemerintah mengikut acuan wahyu dan hidayah Allah. Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi lambang kesempurnaan agama Islam, kecemerlangan sakhsiah baginda bukan pada ibadah dan akhlaknya sahaja, tetapi juga pada keadilan dan kebijaksanaannya dalam politik dan pemerintahan.

Islam ingin melahirkan pemimpin yang bukan sekadar berjiwa rakyat tetapi lebih dari itu ia mampu membimbing rakyatnya. Ia mengetahui dengan baik landasan mana yang harus dikutinya selama ia memerintah rakyatnya. Dalam setiap keputusannya, dipastikan untuk kemaslahatan rakyat, bukan diri sendiri. Ia menyedari di bawahnya adalah rakyatnya dan di atasnya adalah Tuhannya yang sentiasa memerhati dan menghisab segala tindak-tanduk serta perlakuannya. Pemimpin yang memiliki ciri dan akhlak sebegini bukan hanya menjadi suatu idea di dalam Islam, malah Islam telah melahirkannya ke alam realiti. Contoh terunggul ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Selain baginda ialah Saidina Abu Bakar r.a., khalifah pertama di dalam Islam. Keperibadian Abu Bakar sebagai pemimpin Islam sejati dapat dilihat dari awal lagi dalam pidato sulungnya sebaik diangkat menjadi Khalifah.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dalam Tabaqatnya; “Semasa Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, beliau berpidato di hadapan rakyatnya. Setelah bertahmid kepada Allah dan memuji kebesaranNya, beliau berkata; “Wahai sekelian manusia! Aku telah diangkat untuk menguruskan urusan kamu sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Namun al-Quran telah turun kepada kita dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk kita di mana dia telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya. Sedarilah bahawa sebaik-baik kebijaksanaan ialah takwa dan sebodoh-bodoh kebodohan ialah fujur (dosa dan maksiat). Sesungguhnya bagiku orang yang lemah adalah paling kuat di kalangan kamu kerana aku akan membantunya untuk mengembalikan haknya (yang dirampas oleh orang lain). Sementara yang kuat pula bagiku adalah paling lemah kerana aku akan mengambil darinya hak (orang lain yang dirampasnya). Wahai sekelian manusia! Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan pembid’ah (yakni yang mereka-reka ajaran baru). Maka jika aku berbuat baik, bantulah aku dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”. (Thabaqat Ibnu Sa’ad, bab Zikr Bai’ati Abi Bakr)

Perhatikan bagaimana Abu Bakar telah menggariskan dasar-dasar bagi pemerintahannya dalam ungkapan yang begitu ringkas. Tidak banyak perkataan yang digunakan, namun pengertiannya amat luas dan mendalam. Abu Bakar memulakan pidatonya dengan merendah diri kepada rakyatnya. Walaupun berada di jawatan tertinggi dalam Negara, ia merasakan dirinya bukanlah yang terbaik. Begitulah seharusnya seorang pemimpin. Perlu ada perasaan rendah diri kerana dengan perasaan itulah Allah akan membantunya dan ia akan disayangi rakyat. Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya”.[1] Diriwayatkan juga dari baginda; “Rendah dirilah kepada manusia, duduklah bersama orang-orang miskin, nescaya kamu akan menjadi orang-orang besar di sisi Allah dan kamu akan keluar dari perasaan takbur”.[2]

Perasaan rendah diri bukan bertujuan menzahirkan kelemahan diri di hadapan rakyat. Akan tetapi untuk meraih simpati rakyat agar dapat bersama mencari kekuatan untuk membina Negara. Kerana itu, Abu Bakar menegaskan; “Aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, namun al-Quran telah turun kepada kita dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk kita di mana dia telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya”. Bagi Saidina Abu Bakar, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber kekuatan bagi beliau untuk memimpin rakyatnya. Kerana itu, walaupun berasa diri lemah tetapi beliau yakin dengan kekuatan wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah yang diwarisi dari Nabi Muhammad s.a.w.. Wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah inilah yang menjadi titik kesatuan antara beliau dan rakyatnya dan dari titik kesatuan itulah beliau yakin akan mendapat dokongan penuh dari rakyatnya untuk menerajui Negara.

Seterusnya Abu Bakar menjelaskan dasar-dasar kepimpinannya kepada rakyatnya;

Pertama; Dasar yang digunakan dalam menilai rakyat. Abu Bakar menegaskan kepada sekelian rakyatnya bahawa beliau menilai mereka berdasarkan ketaatan kepada Allah, bukan pangkat, keturunan, harta dan sebagainya. Baginya, rakyat terbaik ialah yang paling tinggi takwanya. Jelas sekali beliau menghayati prinsip al-Quran yang menegaskan; “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya di antara kamu” (Surah al-Hujurat, ayat 13). Berdasarkan prinsip ini, para ulamak menegaskan; “Sebarang jawatan dalam kerajaan Islam sama ada berkaitan dengan kehakiman, kementerian, pentadbiran atau sebagainya tidak harus diserahkan kepada mana-mana orang melainkan yang memenuhi syarat-syarat berikut:[3]
1. Mempunyai keimanan dan ketakwaan.
2. Mempunyai kelayakan ilmu berkaitan jawatan yang hendak diisi.
3. Ia tidak melobi untuk mendapatkannya kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya kami demi Allah tidak akan menyerahkan kerja ini kepada seseorang yang memintanya atau bercita-cita ke atasnya”.[4]

Kedua; Dasar keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat. Saidina Abu Bakar meletakkan satu prinsip yang tegas berhubung keadilan dan kesaksamaan di antara rakyatnya. Beliau seolah-olah memberi amaran; jangan ada sesiapa pun di kalangan rakyatnya yang cuba menindas orang lain kerana beliau pasti akan menggunakan kuasanya –sebagai pemimpin- untuk membela orang tertindas itu. Dirinya diletakkan sebagai pengimbang antara rakyatnya yang kaya dan yang miskin, antara yang menindas dan yang ditindas. Rakyat yang dizalimi akan dibela sehingga ia menjadi kuat di tengah masyarakat dengan pengaruh khalifah. Sementara yang menzalimi pula akan dikekang dan diancam sehingga pengaruhnya menjadi lemah kerana ditenggelamkan oleh kuasa khalifah.

Ketiga; Dasar pemimpin berperlembagaan, yang tertakluk dengan undang-undang Syarak. Di dalam ucapannya tadi, Saidina Abu menegaskan; “Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan pembid’ah (yakni yang mereka-reka ajaran baru)”. Saidina Abu Bakar ingin memberitahu rakyatnya bahawa; walaupun berada di kedudukan paling atas dalam Negara, beliau tetap terikat dengan undang-undang Syari’at yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w.. Sebagai pemimpin Islam, beliau menyedari bahawa tanggungjawab beliau ialah meneruskan kesinambungan politik Islam yang dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukan membawa ajaran politik baru yang berlawanan dengan sunnah baginda. Kerana itu, beliau meminta rakyatnya agar mengawasinya. Beliau berpesan kepada mereka; “Jika aku berbuat baik, bantulah aku dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”.

Kepada pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini, kita nasihatkan; jadikanlah pidato Saidina Abu Bakar di atas sebagai panduan dalam pemerintahan. Jika kamu berlaku adil, kamu akan disanjung dan dikasihi oleh rakyat sebagaimana Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan pemimpin-pemimpin soleh yang lain. Namun jika kamu zalim dan menyeleweng, kamu akan menjadi seperti Fir’aun, Namrud dan sebagainya yang dicela dan dicaci rakyat.

Nota Kaki;

[1] HR Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dari Abu Hurairah r.a., kata as-Suyuti; hasan (al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8605).
[2] HR Abu Nu’aim dari Ibnu ‘Umar r.a. (al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 3380. Menurut Syeikh Nasiruddin al-Albani; hadis ini dhaif).
[3] Lihat: Ad-Dustur Al-Islami, Abu Bakar al-Jazairi, m.s 19-20, cet. Al-Maktab Al-Islami Damsyik/Beirut (1391H))
[4] HR Imam Muslim.