Sunday, August 3, 2008

PERBETULKAN PERSEPSI KITA TERHADAP TERTUDUH

Apabila seseorang menghadapi suatu tuduhan -khususnya tuduhan jenayah-, biasanya masyarakat sudah mula memandang hina kepadanya? Tuduhan baru dibuat dan keputusan belum tentu benar ia melakukan sebagaimana yang dituduh atau tidak melakukannya, namun namanya sudah menjadi buruk. Itulah kelemahan sistem yang ada dalam masyarakat hari ini. Minda masyarakat dimainkan oleh media massa. Media massa pula kebanyakannya tidak bertanggungjawab, bukan berniat mendidik masyarakat, tetapi lebih kepada mencari untung termasuk dengan menyiarkan berita-berita sensasi tanpa memikirkan pandangan Syarak, baik-buruk berita itu disiarkan, kesan terhadap masyarakat dan individu dan sebagainya. Menurut Syari'at Islam, semua manusia dilahirkan dalam keadaan bersih dari dosa dan jenayah. Oleh itu, untuk mensabitkan kesalahannya mesti dengan bukti-bukti atau dengan pengakuannya sendiri. Tanpa bukti atau pengakuannya, ia akan kekal dalam status asal ketika ia di lahirkan iaitu tanpa dosa dan tanpa jenayah. Sekadar tuduhan, ia tidak boleh dianggap telah melakukan jenayah. Penerimaan masyarakat terhadapnya juga tidak seharusnya berubah. Media masa juga tidak berhak menyiarkan berita seolah-olah ia telahpun bersalah, walhal apa yang dilemparkan kepadanya baru berupa tuduhan.

Dalam senarai kaedah-kaedah Fiqh (al-Qawa'id al-Fiqhiyyah) yang dijadikan panduan oleh ulamak-ulamak Islam untuk menetapkan hukuman/keputusan, terdapat satu kaedah berbunyi; "al-Aslu Bara-atu az-Zimmah", yang memberi pengertian; "Asal setiap manusia adalah bebas dari sebarang tanggungan". Maksud tanggungan di sini ialah tanggungan terhadap hak orang lain sama ada berupa harta, kesalahan jenayah atau sebagainya. Apabila ada seorang mendakwa seorang lain ada berhutang darinya dan orang itu tidak mengakui, dakwaannya itu tidak terus diterima, akan tetapi ia dituntut mengemukakan bukti yang berupa saksi, surat perjanjian dan sebagainya. Ini kerana manusia pada asalnya dilahirkan tanpa ada hutang, maka untuk mensabitkan ia berhutang hendaklah dengan bukti. Jika tidak, kekallah ia dalam hukum asalnya iaitu bebas dari hutang.

Menyentuh tentang jenayah pula, Dr. Abdul-Karim Zaidan menjelaskan; di antara cabang kaedah ini (yakni kaedah yang kita sebut di atas); "Seorang tertuduh masih dianggap bebas hinggalah terbukti perlakuan jenayahnya. Kerana itu, terdapat ungkapan yang masyhur; 'Apabila berlaku keraguan (dalam tuduhan), ia akan ditafsirkan untuk kepentingan tertuduh", kerana pada asalnya tertuduh adalah bebas dari sebarang perlakuan jenayah dan juga hukuman yang menjadi akibat dari jenayah itu. Apabila tidak terbukti jenayah itu, maka sebarang keraguan tidak terpakai untuk menyabitkan perlakuan jenayahnya, maka keraguan tersebut ditafsirkan untuk kepentingan tertuduh iaitu pembebasannya (dari tuduhan)" (al-Wajiz Fi Syarhi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).

Begitulah betapa adilnya Islam. Dengan Islam semua akan selamat; kita akan selamat, orang lain akan selamat, keluarga kita akan selamat, masyarakat akan selamat dan negara juga turut selamat. Berlaku adillah terhadap orang lain, insya Allah orang lain juga akan berlaku adil terhadap kita. Bersangka baiklah terhadap orang lain, nescaya orang lain juga akan bersangka baik dengan kita. Buatlah penilaian berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, bukan berdasarkan pandangan-orang ramai, media massa atau sebagainya. “Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta" (maksud al-Quran; surah al-A’raf, ayat 116).

No comments: