Saturday, June 21, 2008

TAUHIDULLAH DAN SYARI'ATULLAH

HIDUP BERPAKSIKAN TAUHIDULLAH DAN BERLANDASANKAN SYARI'ATULLAH

Hidup manusia adalah satu perjalanan di mana penghujungnya adalah akhirat. Kita bermula dengan tiada, kemudian berada di dalam rahim ibu selama sembilan bulan -mengikut kebiasaan-, seterusnya dilahirkan ke dunia. Di dunia kita menghadapi kehidupan sementara sebelum mati. Kematian bukan penamat hidup. Apabila mati, kita berpindah ke alam yang lain iaitu Barzakh. Di alam Barzakh manusia akan menemui nikmat kubur atau azabnya. Perjalanan hidup manusia berakhir di akhirat. Tiba di akhirat manusia tidak akan ke mana-mana lagi. Kehidupan mereka akan berakhir di situ buat selama-lamanya; ada yang berhuni di syurga dan ada yang di neraka.

Kebahagiaan manusia di akhirat bergantung kepada kehidupannya di dunia. Kerana itu, antara ilmu yang paling bernilai bagi manusia ialah ilmu yang mengajarnya bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan gaya kehidupan yang sebenar mengikut acuan Allah, iaitu gaya kehidupan yang membawa kejayaan di akhirat. Rahmat dan kasih sayang Allah untuk manusia tidak pernah padam dari sejak mula Ia mencipta asal-usul mereka (iaitu Adam) hinggalah ke hari ini. Tidak putus-putus Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk mengajar manusia makna kehidupan dan bagaimana seharusnya kehidupan dilalui. Dengan berperanan sebagai penyampai wahyu, sebagai guru dan pentarbiah, para Nabi dan Rasul bergerak di khalayak manusia untuk menyampaikan Risalah Allah, mendidik manusia serta menyucikan jiwa mereka.

Paksi dakwah para Nabi dan Rasul ialah Tauhidullah (yakni mentauhidkan Allah). Slogan Tauhidullah ialah kalimah Lailahaillah (Tidak ada Tuhan melainkan Allah). Kalimah ini dinamakan kalimah Syahadah, kalimah al-Ikhlas, kalimah at-Taqwa dan al-‘Urwatil-Wusqa.[1] Syahadah bermakna penyaksian. Dengan kalimah ini seseorang itu bersaksi di hadapan Allah dan sekelian makhlukNya bahawa Ia hanya bertuhankan Allah, tidak bertuhankan yang lain selainNya. Al-Ikhlas bermakna ketulusan. Dengan kalimah ini, seorang muslim mentuluskan hatinya untuk Allah. Dia tidak mensyirikkan Allah, tidak riyak dalam beramal, begitu juga tidak menyimpan perasaan Sum’ah mahupun ‘Ujub. At-Taqwa bermakna takutkan Allah di mana kalimah Lailahaillah jika benar-benar dihayati akan melahirkan seorang yang sentiasa takutkan Allah. Al-‘Urwatil-Wusqa bermakna simpulan tali yang kukuh. Kalimah Lailahaillallah mengikat seseorang itu dengan Allah. Selagi seorang manusia itu tetap berpegang dengan kalimah Lailahaillallah, maka selagi itulah pertaliannya dengan Allah tidak akan putus. Allah akan menjaga dan memeliharanya, memberi hidayah kepadanya dan membimbingnya ke syurga.

Di atas paksi tauhid itu dibina pula landasan Syari’at. Syari’at bermakna jalan. Syari’at Islam bermakna jalan hidup Islam yang mesti dilalui oleh setiap manusia yang mentauhidkan Allah. Seorang muslim mempunyai landasan hidupnya sendiri iaitu Syari’atullah. Syari’atullah melengkapkan Tauhid. Tiada Syari’at tanpa tauhid dan tidak sempurna Tauhid tanpa penghayatan terhadap Syari’at. Tauhid menjurus kepada batin atau dalaman manusia. Syari’at pula menjurus kepada zahir atau luarannya. Seorang muslim hakiki ialah yang Islam pada dalaman dan juga luarannya. Ia bebas dari segala sifat yang bertentangan dengan cirri-ciri keislaman sama ada sifat kufur, sifat munafik, sifat fasiq dan sebagainya. Kufur ialah menolak Islam sama ada dari segi dalamannya (yakni tauhid) atau luarannya (yakni Syari’at). Sifat munafik menolak Islam pada dalamannya tetapi menzahirkan Islam pada luaran iaitu berpura-pura Islam. Fasiq pula meyakini Islam pada dalaman (yakni mentauhidkan Allah), namun tidak berkomitmen dari sudut luarannya (yakni tidak berpegang dengan Syari’at).

Kejayaan kita ialah dengan kita menghadamkan Tauhidullah dan juga Syari’atullah dalam diri kita. Tauhidullah adalah paksi hidup kita, sementara Syari’atullah adalah landasannya. Itulah gaya hidup muslim. Nabi s.a.w. pernah diminta oleh seorang sahabatnya untuk memberikan kata-kata nasihat yang ringkas dan padat tentang Islam, lalu baginda berkata; “Ucapkanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamahlah”.[2] Beriman dengan mentauhidkan Allah, istiqamah pula dengan berterusan di atas landasan Syari’atNya. Apabila bergabung iman dan istiqamah, kejayaan pasti menjadi milik kita sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam firmanNya (yang bermaksud);

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata: ‘Tuhan Kami adalah Allah’, kemudian mereka istiqamah, akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita. Terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah teman-teman kamu di dunia dan di hari akhirat. Kamu akan mendapat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan mendapat apa yang kamu cita-citakan, sebagai sambutan penghormatan dari Allah yang maha pengampun, lagi maha mengasihani!’”. (Fussilat; 30-32).

Nota kaki;

[1] Lihat; surah al-Fath, ayat 26 dan al-Baqarah, ayat 256.
[2] Riwayat Imam Muslim dari Sufyan bin ‘Abdillah r.a..

No comments: